Bercakap tentang cinta yang pernah mekar seperti bunga.

"Ditunggu berapa lama kau mahu menjadi bunga?" 
"Sehingga datang sepasang tangan"
"Yang bagaimana?"
"..."

Tempoh hari, pokok itu cuma benih. Tak terzahirkan oleh mata; diam bisu dikatup tanah. Kemudian hujan datang menyimbah nyimbah-- tanah berkolam, benih tenggelam. Dikira begitulah mati tetapi datang pula sang matahari-- terik membahang, kering kontang. Benih sudah mula akur barangkali inilah takdir tuhan; mati kehausan, kemarau ketandusan.

Satu
Dua
Tiga
Hari hari terus berlalu.

Ada sepasang tangan kiriman tuhan menyampaikan air kepada tanah. Sepertinya nyawa kembali disambung, seolah satu roh kembali hidup. Benih bercambah menjadi pohon-- baja ditabur, tanah menyubur. Asbab tangan yang sama itulah, bunga yang dulu dipersoal kewujudannya kini sudah mekar. Dibajai cinta yang disangka ikhlas, tulus, suci dan bersih, maka bunga terus mekar mekar dan mewangi.

Begitulah hidup,
Erti
Makna
Definisi cinta itu berubah-ubah.


Tangan yang sama membajai benih dan memekarkan bunga, tangan itu jualah yang menggenggam terlalu keras. Hancur. Dibiarkan mati tak berbaja, dibiar layu kehausan. Nasib inikah yang kau ingin timpakan pada akhirnya?


Maka kenapa harus disuruh tumbuh kalau akhirnya kau juga yang membunuh?

Bunga itu perlahan layu,
Menunggu mati, tak merayu,
Lama lama, menyembah bumi,
Akurkan angin membuai pergi,
Carilah pusaramu jauh dari hati,
Moga jangan tumbuh lagi.

Selamat tinggal wahai sepasang tangan. Jangan berani jejak lagi daerah ini. Sudah tak ada sekelumit benih yang mampu kau bajai.



Comments

Popular posts from this blog

April 27th

The things you left unsaid;

Safe place